Monday 29 July 2013

Sejarah Penubuhan Persatuan Waris Kerinchi KL

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi atas kurniaan nikmat dan kesejahteraan kepada kita semua, masyarakat Kerinchi Kuala Lumpur. Terima kasih diucapkan kepada kaum keluarga, sahabat handai serta anak anak Kerinchi atas semangat, dorongan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada diri saya untuk menubuhkan satu persatuan dengan harapan dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat Kerinchi Kuala Lumpur.

Pada April 2012, saya dan isteri berkesempatan untuk menghadiri satu majlis perjumpaan masyarakat Kerinchi Malaysia di Hotel Iris Melaka Raya, Melaka. Perjumpaan yang diadakan ini adalah untuk membincangkan tentang sebuah program ‘Moh Balik Kincai’ yang bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat Kerinchi Malaysia pulang dan melawat ke Kerinchi, Indonesia. Turut pada majlis tersebut adalah masyarakat Kerinchi dari negeri Johor, Melaka, Perak dan Selangor  Pelbagai perkara turut dibincangkan pada perjumpaan tersebut termasuklah isu dan masalah yang berkaitan dengan masyarakat Kerinchi. Kesepakatan dan keikhlasan semua jemputan dalam membahas isu-isu melibatkan orang Kerinchi telah terlihat pada majlis tersebut.

Dengan semangat jati Kerinchi dan sokongan yang diberikan , saya bertekad untuk menubuhkan persatuan yang akan dapat menghubungkan semua masyarakat Kerinchi di Kuala Lumpur. 1hb Mei 2012 telah menjadi tarikh keramat dan titik permulaan apabila satu majlis mesyuarat penubuhan Persatuan telah diadakan  dan 22 orang telah menghadiri mesyuarat tersebut.  Pengerusi Persatuan Anak Kerinchi Hulu Selangor turut hadir sama dan memberi pandangan serta cadangan agar penubuhan Persatuan ini dapat menjadi kenyataan. Berikutan itu, terlantiklah Jawatankuasa Penaja dan mendapat kata sepakat untuk melakukan pendaftaran persatuan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan nama PERSATUAN WARIS KERINCHI KUALA LUMPUR  pada 4hb Julai 2012. Pendaftaran ini kemudiannya telah mendapat kelulusan pada 11hb Julai 2012. Maka dengan itu, masyarakat Kerinchi Kuala Lumpur telah mempunyai sebuah Persatuan yang berdaftar.

Tujuan & Matlamat Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur adalah:

      a.       Menyatu, menyusun, mengembeling dan memperkukuhkan tali  
       persaudaraan masyarakat Kerinchi Kuala Lumpur

b.   Tolong menolong diantara sesama ahli didalam soal kebajikan

c.   Membantu untuk mempertingkatkan taraf sosio ekonomi ahli-ahli

d.    Menjalankan aktiviti –aktiviti kebajikan,sukan, kemasyarakatan ekonomi
      rekreasi sosial dan kebudayaan

e.    Merapatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan  dikalangan  ahli-ahli


Akhir sekali, ucapan terima kasih saya hulurkan kepada seluruh masyarakat Kerinchi yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam memberi sokongan kepada penubuhan Persatuan Waris Kerinchi ini. Tidak lupa juga kepada sahabat dan masyarakat Kerinchi yang turut hadir pada majlis perjumpaan ‘Moh Balik Kincai’ kerana telah menyuntik semangat saya untuk menubuhkan persatuan ini.

Assalamualaikum.

Mohd Husaimi Bin Ismail
Pengerusi PWKKL 2013

2 comments: